Wednesday, August 19, 2009

Kontrak sosial ramuan untuk 1Malaysia

Kontrak sosial ramuan untuk 1Malaysia

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Kontrak sosial perlu dipertahankan kerana ia merupakan ramuan utama untuk menjayakan konsep 1Malaysia gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, melalui kontrak sosial, keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dalam negara ini akan dapat dicapai.
Katanya, jika asas pembentukan negara tidak dipertahankan sudah tentu akan mewujudkan jurang perbezaan ketara di antara kaum.

''Pertikaian dan persoalan sudah pasti akan mendatangkan keresahan kepada pemimpin Melayu dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan sehingga menyebabkan kemarahan dan ketegangan.

''Semua pihak perlu ingat kontrak sosial adalah perjanjian yang telah dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin- pemimpin terdahulu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam bahawa negara akan berdepan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik.

Baginda juga khuatir tamadun dan kemerdekaan akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.

Razali berkata, dalam hal ini, kerajaan diminta tidak berlembut kepada pihak tertentu yang mempertikaikan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk memenuhi permintaan peribadi.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan memberitahu, kerajaan perlu bertegas memandangkan masalah serius seperti itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa sebarang tindakan.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya menyokong penuh titah Sultan Kedah itu agar kontrak sosial terus dipertahankan dan tidak dipertikaikan.

Beliau memberitahu, sejak kebelakangan ini timbul secara berleluasa fenomena mempersoalkan kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain.

Jelasnya, tindakan itu jika tidak dikawal boleh menyebabkan generasi muda mempunyai tanggapan negatif terhadap kontrak sosial.

''Kerajaan perlu segera menangani masalah ini, termasuklah menahan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika keterlaluan,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak memahami maksud kontrak sosial dan menghayatinya seperti dilakukan oleh pemimpin dalam parti komponen Barisan Nasional (BN).

Credit to Utusan Malaysia - 20/8/2009

2 comments:

  1. Orang Melayu kononnya mudah lupa. Jadi tak ambik atau apa yang tok nenek depa perjuangkan untuk depa dulu.Kalau boleh, depa nak gadai negara ni.

    Orang bukan Melayu nak putar sejarah. Depa nak jadikan negara ni macam depa yang punya.

    ReplyDelete
  2. pasai tu la cucu tok derga oi... makin hari orang melayu kita dah lupa asai usui depa...

    ReplyDelete